Tuesday, February 2, 2010

Siapa Teman Setia Kita

Apabila kita berada di dunia ini kita dikelilingi oleh teman setia, sahabat handai, keluarga, harta dan sebangainya termasuk segala kenikmatan yang Allah berikan sehingga kita tidak dapat nak menghitung banyaknya. Tetapi apabila kita meninggal nanti hanya keluarga, harta dan amalan boleh menghantarkan kita hanya sampai kepintu kubur sahaja dan hanya dapat mengucapkan selamat tinggal sahaja ketika melihat badan terbujur kaku dimasukkan ke dalam liang lahat. 
 
Tidak ada seorang pun yang setia sanggup menunggu dan bersama-sama terbujur menjadi teman setia dalam kubur. Dimana anak yang dibelai manja itu. Kenapa mereka tidak setia menunggu bersama dengan kita. Mereka semua akan pulang setelah tanah ditimbusi. Mereka sebenarnya tidak sanggup bersama dengan kita. Begitu jugalah segala harta yang kita cari membanting tulang atas dunia ini sampai mempertaruhkan nyawa sehingga kita lupa Allah semata-mata untuk menghimpunkan harta sebanyak-banyaknya. Semuanya itu akan ditinggalkan dan diwarisi oleh ahli keluarga. Mereka semua yang akan mempusakai dengan senang lenang. Sedangkan kita yang dahulunya itu berkerja keras untuk kesenangan akan disoal oleh Allah SWT dimana kita memperolehi harta itu dan kemana dibelanjainya. 
 
Orang yang bijak ialah orang  yang mempunyai rancangan bagi negeri akhirat dan bersedia menghadapi kematian apabila sampai saatnya tetapi orang yang terpedaya ialah orang yang banyak berangan-angan mengejar dunia dan menimbun harta sebanyak-banyaknya sehingga mereka lupa kepada Allah.

Apa yang tinggal dengan kita dalam kubur itu hanyalah amalan sahaja yang kita kerjakan atas dunia dahulu samada sedikit atau banyak bergantung kepada tahap keikhlasannya yang diamalkan. Oleh kerana itu perbanyakkan membuat kebajikan, tingkatkan ketakwaan, rebutlah saham akhirat dengan rajin bersedekah dan banyakkan menderma sebagai bekalan ke negeri akhirat yang amat jauh itu. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
     Daripada Anas bin Malik RA. Rasullullah SAW bersabda: Ada 3 macam yang akan menghantar jenazah ketika ke kubur iaitu keluarganya. hartanya dan juga amalannya. Dua antaranya akan kembali dan satu lagi akan tetap tinggal bersamanya. Keluarga dan harta akan kembali dan amalan akan tetap setia bersamanya.  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails